Monday, July 20, 2009

Jariah Di Bungkusan Azam

Malam........
Lewat duyunan tetamu Allah
menyudahi solat berjemaah
Si kudung tangan siap siaga
mahu mengelek rezeki
menancapkan rasa simpatiku
tertipu aku di balik kepura-puraan malam

Siang.............
Lewat duyunan tetamu Allah
Menyudahi solat berjemaah
Si kudung tangan tabah menadah
di terik mentari perit menggigit
tangan si anak-anak sendiri diikat harapan
sampai kudungnya ke pangkal lengan
simpatiku longgar terbongkar di kebenaran siang.

Kulihat tetiba...
berhamburan anak dan ibu tidak bertepi
sekilat itu membungkus jualan harapan
tatkala kelibat lewat penguasa tempatan
melompat lari mengejar penjual haram
di pinggir rumah Allah

Bungkusan jualan yang dikendong
tercicir di jalan
sepertinya membungkus bersama azam
untuk ke mari lagi
sepertinya membuka lawang tafakur
untuk tetamu Allah
menghimpun jariah
di ini tanah suci.



13 Jun 2009
Mekah

No comments:

Post a Comment