Friday, May 8, 2009

Budaya Suruh

Hari ini, anak-anak akan melakukan sesuatu apabila disuruh. Solat disuruh, mandi disuruh, makan disuruh, belajar disuruh, tidur disuruh. Pendek kata, semuanya disuruh, barulah bergerak untuk melakukan apa-apa yang disuruh. Akhirnya, keikhlasan tiada, berkatnya tiada, kejayaannya juga bermakna jika disuruh. Saya cuba menganalogikan satu senario yang kerap kita lihat dalam kalangan masyarakat kita, khusuusnya masyarakat kampung. Apabila ada berlaku kematian, tabuh dipalu tanpa disuruh. Insan-insan yang lena dibuai mimpi segera bangun dari tidur tanpa disuruh, tertanya-tanya sesama sendiri, berteka-teki, mencari maklumat tanpa disuruh. Siapakah yang meninggal dunia? Maklumat tetap dicari tanpa henti. Keesokan paginya, orang-orang kampung menziarahi keluarga si mati tanpa disuruh. Bertafakur tanpa disuruh. Melakukan kerja-kerja yang sepatutnya juga tanpa disuruh. Yang menyiapkan keranda, yang mengukur si mayat, yang menggali kubur, yang menyiapkan air mandian, kain kapan,yang membacakan yasin. Semuanya tanpa disuruh. Seperti ada satu kuasa menyuruh yang tidak disuruh. Selepas siap semuanya, orang ramai menyembahyangkan mayat tanpa disuruh, mengusung mayat ke tanah kuburan tanpa disuruh, mengebumikan mayat tanpa disuruh. Jika tanah perkuburan di kawasan tanah bukit, mayat dimasukkan ke liang lahad , dihadapkan ke arah kiblat, dikepal-kepalkan tanah buat penyandang tubuh mayat agar mudah menghadap kiblat. Semuanya dilakukan tanpa disuruh. Jika di kawasan tanah gambut, keranda dimasukkan bersama ke liang lahad, dibuka penutup keranda, diiringkan mayat mengarah ke kiblat, dikepal-kepal tanah dibuat bantal, diselitkan di keliling wajah, leher, belakang badan mayat sehingga mayat mampu menghadap ke arah kiblat dengan tenangnya. Pekerjaan itu dilakukan juga tanpa disuruh. Membisu , diam seribu bahasa tanpa disuruh, tidak berbual-bual untuk menghormati mayat tanpa disuruh, berzikir, berdoa untuk kesejahteraan mayat juga tanpa disuruh. Betapa indahnya jika kita dapat menghayati, mengingati saat-saat sedih ini tanpa disuruh. Sejauh manakah kita dapat bertafakur sejenak tanpa disuruh? Wahai anak-anakku! Buatlah sesuatu tanpa disuruh. Nescaya kau akan menemukan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin....

1 comment:

  1. Zu,
    begitulah pendidikan berlaku semasa zaman kanak-kanak melalui ingatan. Salah satunya cara suruhan ibu bapa. Lama-lama akan jadi kebiasaan. Bila sudah jadi kebiasaan, tak perlu lagi disuruh-suruh. Diharap begitulah. Satu analogi yang menarik dalam mendidik anak-anak.

    ReplyDelete