Friday, June 26, 2020

SELOKA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN NORMA BAHARU

Masuk pintu pagar suram suasana,
Kelihatan putih-putih kaburi mata,
Berkujur tubuh terbaring lena,
Penjarakan satu meter akur dijaga.

Datang dekat ada yang tergolek,
Rupa-rupanya murid lena diulik,
Seram pun ada rasa nak balik,
Digagahi jua tak berpatah balik.

Terpisat-pisat murid didekati,
Kenapa datang awal dikenal pasti,
Katanya van lalu tak nak berhenti,
Enjin dah hidup tak nak mati.

Aduh rupanya Cikgu Tumpi,
Risau amat sampai bermimpi,
Terus bangun tak bertapi,
Sampai sekolah sunyi sepi.

Ada murid yang dah tiba,
Jalan perlahan teraba-raba,
Pelitup muka menutup mata,
Pengimbas suhu dah tiga dicuba.

Tak boleh diimbas bacaan suhu,
Murid disuruh sanitasi dahulu,
Takut bergejala kena tunggu,
Memang kena ada rasa ragu-ragu.

Itulah budaya norma baharu,
Baik kenalan lama atau kenalan baru,
Status kesihatannya sentiasa diragu,
Kalau macam sombong usah haru.

Cikgu- cikgu ramai dah datang,
Ke mesin pengetik beratur memanjang,
Ada yang lalu arah menentang,
Masa simulasi dia tak datang.

Cikgu pengawas blok siap siaga,
Bimbang murid bertembung laga,
Takut jarak sosial tidak dijaga,
Bukan murid sahaja, cikgu juga.

Ikut arah laluan masuk ke kelas,
Pergerakan pun sangat pantas,
Cikgu bertugas tiada culas,
Esopi dibaca lantang satu kelas.

Pengajaran semuka sudah bermula,
Cikgu tak sabar nak bertanya,
Mengapa dalam talian asyik tak ada,
Murid cemas nak jawab apa.

Cikgu Tumpi baik hati,
Malas nak tanya soalan begini,
Yang penting murid disantuni,
Kelak bersemangat belajar nanti.

Anggerik Desa
25 Jun 2020

No comments:

Post a Comment