Sunday, December 23, 2012

Kolokium Karyawan Johor

 Pada 16 Disember 2012, saya berkesempatan menghadiri Mesyuarat Agung PPJ kali ke-35 di Hotel Nouvella Kulai. Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP Dr. Awang bin Sariyan, anak jati kelahiran Pontian, Johor. Setiap tahun PPJ tidak ketinggalan menyisipkan agenda sastera dalam perjumpaan ini. Saya berasa amat bertuah kerana dapat mengikuti kolokium karyawan Johor yang ahli panelnya terdiri penyair yang tidak asing lagi  Tn. Hj Shapiai Mohd Ramly, Dr. Shamsuddin Othman dan Tn. Hj. Mohd Rosli bin Hj Bakir.
 
Saya petik ucapan Ketua Pengarah DBP Dr. Awang bin Sariyan sebelum merasmikan Mesyuarat Agung PPJ Kali ke-35 untuk dikongsikan bersama-sama rakan pencinta bahasa dan sastera:
-          Beliau menyatakan bahawa situasi sekarang amat mencemaskan khususnya dari sudut peradaban Melayu-Islam. Oleh itu, sebagai penulis mempunyai ruang yang luas untuk menjelaskannya kepada masyarakat.  Generasi muda yang tidak faham pergolakan sejarah harus disedarkan melalui penekanan dalam sukatan pelajaran.
-          Dalam satu forum di PWTC, KL baru-baru ini, beliau menyatakan kekesalannya apabila seorang ahli korporat melayu berpendapat bahawa  sekarang bukan masanya orang Melayu berbicara soal sastera, budaya, bahasa, dan sejarah, sebaliknya  sekarang adalah masa untuk membicarakan soal ekonomi sahaja. Ahli korporat  itu juga mengatakan Melayu itu asal sahaja tidak memijak al-Quran dan tidak makan babi.
-          Beliau mengambil contoh orang Cina yang pandai memperjuangkan hak dan sikap itu harus dicontohi oleh orang Melayu yang harus tetap memperjuangkan hak walau kaya mana pun negara kita.
-          Beliau berpendapat sebahagian orang Melayu begitu angkuh dan tidak mahu melihat urusan bangsa dan bahasa sebagai teras, sedangkan Melayu adalah bangsa kedua terbesar dan kita patut mensyukuri nikmat ini.
-          Beliau menegaskan bahawa peranan PPJ amat penting dalam membentuk kesatuan sikap dan jati diri. Beliau tidak mahu ketidakadilan dalam struktur sosial berlaku apabila isu penghapuskan sistem pendidikan sekolah kebangsaan pernah disuarakan.
-          Beliau menegaskan bahawa semua rakyat harus berpegang pada gagasan satu bahasa seperti negara jiran kita Indonesia. Di Indonesia, tidak timbul keterpaksaan sehingga rakyatnya menukar nama walaupun bukan rakyat setempat.
-          Beliau mengimbau sejarah  lahirnya DBP dalam keadaan porak-peranda  untuk membentuk negara merdeka. DBP tidak lahir dalam keadaan mudah kerana tanpa gerakan penulis, tidak mungkin tercetus idea untuk membentuk DBP
-          Beliau memaklumkan bahawa usaha menerbitkan buku  dalam pelbagai bidang seperti linguistik, kajian sastera, sains, astronomi dll akan diteruskan oleh DBP. Pada tahun 2013 , DBP akan menerbitkan 3,000 hingga 5,000 judul buku baru.
-          Beliau berharap tidak ada alas an manuskrip lambat dicetak. Masalah ini berlaku sebelum ini disebabkan masalah ‘edditting’ yang akhirnya menjadi ‘rewritting’. Oleh itu, beliau berharap PPJ, penulis  sentiasa bekerjasama dengan DBP untuk memastikan manuskrip bermutu dan segera dicetak.
-          Beliau menyatakan rasa bangga atas usaha Pena dan ITBM mengadakan program pembentukan penulis ke seluruh negara hingga selatan.
-          Beliau juga memaklumkan bahawa DBP  membuat audit bahasa supaya bahasa Melayu digunakan sepenuhnya, kenal pasti jabatan manakah yang tahap penggunaan bahasanya mencapai 70%, 80% dan seterusnya. Beliau turut berharap penggunaan bahasa Melayu masuk dalam kabinet.
-          Beliau menyedari bahawa di lihat dari aspek mutunya, tidak ada masalah ejaan dan tatabahasa selepas 55 tahun.
-          Beliau menegaskan petingnya usaha ditingkatkan 3 tahun pertama ini. Oleh itu peranan Persatuan Penulis, kembara bahasa, selain  alumni yang dibentuk di peringkat zon, dan munsyi bahasa amat penting agar sesuatu yang positif berlaku terhadap  bahasa Melayu.
-          Beliau mencadangkan para aktivits bahasa ini diberikan tugasan  untuk memartabatkan bahasa, kerana duta bahasa ada di mana-mana di seluruh negara. Oleh itu, komitmen amat diperlukan dalam usaha ini.
-          Beliau mengingatkan juga bahawa DBP adalah tempat mengadu persatuan penulis selagi falsafahnya tidak berubah.
-          Beliau menyatakan bahawa PPJ berperanan membina sikap yang betul terhadap bangsa teras dan tidak menghina bahasa sendiri. Fakta sejarah tidak dinafikan bahawa pada zaman lampau, bangsa-bangsa lain menumpang kekuatan bangsa Melayu (mahawangsa). Kini, isitlah banyak terdapat dalam bahasa Melayu, Cuma wacananya agak kurang. Oleh itu, DBP akan melaksanakan program untuk mengumpulkan golongan remaja dan kanak-kanak secara berpakej. Sehubungan dengan itu, PPJ harus bergerak membantu agenda DBP ini.
-          Beliau amat mengharapkan komitmen, iltizam penulis  supaya sentiasa berhubung dengan jabatan penerbitan, atau secara langsung kepada beliau, Ketua Pengarah DBP kerana beliau ingat janji DBP kepada rakyat kerana diberi kepercayaan oleh rakyat sejak 1956.
-          Beliau berpendapat bahawa isu bahasa harus dipecahkan, tidak menyimpan sampah di bawah permaidani. Beliau juga berpendapat bahawa tidak ada bidang ilmu yang tidak ada wacananya, dan tidak ada sebab pemimpin mengambil bahasa asing sebagai bahasa ilmu.
-          Beliau memaklumkan bahawa jumlah persatuan yang memohon kewangan masih rendah dan beliau berharap agar PPJ merancang kegiatan bahasa yang  lebih aktif lagi. Peruntukan sebanyak 300,000 setahun diberikan untuk menggerakkan program.
-          Beliau menekankan sekali lagi bahawa ketika merancangkan program, jangan  melupakan agenda besar berkaitan bangsa Melayu, bahasa dan negara. Beliau turut berharap agar anak cucu kita dapat menghasilkan karya-karya besar.
-          Beliau mendoakan agar DBP terus  diberi kekuatan dan inayah mendukung amanah dan menjadi benteng, seterusnya menjadi bekal ikhlas di alam satu lagi.
 
 
 

No comments:

Post a Comment