Gegunung Kesabaran
Biar didaki ribuan manusia
diluka dada buat merintis jalan
ditujah perut buat tempat berpaut
batuanmu tetap senyum
menyambut tapak-tapak gigih
akar kekaitmu tetap kukuh
menarik tangan-tangan hasrat
pokok renekmu tetap hijau
memaut mesra jari-jari cekal
untuk ke puncak menyimpul ikatan
menyaksikan keindahan panoramu LEDANG
Meski puncakmu dibungkus kabus
meski udaramu yang segar dihirup rakus
meski syahdumu digilai jagat
meski nyamanmu dicemburui amat
meski flora faunamu sering dihambat
mata hatimu tetap redup
jantung hatimu tetap tabah
kau senyum menyambut sabar
kehadiran manusia pelbagai abad
menyaksikan keindahan panoramu LEDANG
1 Ogos 2009
4.00 petang
TATKALA KU MENDAKI PUNCAKMU LEDANG
Tatkala ku mendaki puncakmu Ledang
hati ditiup pawana kesyahduan
menyaksi panorama cerlang
yang berabad-abad lamanya
terpateri dalam sejarah tamadun alam
Tatkala ku mendaki puncakmu Ledang
sejuk nyaman menggigit tulang
kabus tebal memburamkan pandangan
menyelubungi maya luas terbentang
Tatkala ku mendaki puncakmu Ledang
barbatum menyapa salam
reflesiana mengorak senyum
warna-wani bunga silih mengintai
menari-nari dipuput belaian angin
alamu hijau alangkah nyaman
Tatkala ku mendaki puncakmu Ledang
kabus bercanda mengejar dan dikejar
menggilap pucuk-pucuk muda yang segar
kesima aku di graha alam ciptaan Tuha
1 Ogos 2009
11.00 malam
Pesanan dari Ledang
Wahai anak watan!
Panggillah rakan taulan
sambutlah salamku
salam syahdu
sebuah taman.
Titip dakilah daku
sebagaimana Tun Mamat
mengabadi setia untuk Mahmud sultannya
menggadai kudrat membawa bingkisan khabar
dari Sang Puteri legenda
maharani puncakku.
Janji pasti daku
disambut dikau dengan mesra pohon-pohonku
dibelai usap dikau dengan kasih bayuku
dihidang dikau dengan juadah enak udaraku
Titip dakilah daku
andai dikau mahu
menitip kasih alam buat generasimu
wara-warakan khabar alam ini
biar jadi kidung zaman.
Lestarilah Taman Negara Ledang!
2 Ogos 20097.00 malam
Zu,
ReplyDeleteCantik puisi-puisi tentang GL tu. Tahniah.
Ayahanda,
ReplyDeleteTerima kasih. Kurniaan Allah jua. Namun, tak seindah kata-kata puitis ayahanda.
Takziah atas kepergian ibu mentua pulang kerahmatullah. semoga dicucuri Allah rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan soleh. Amin...