MUTIARA
Oleh: Zulaiha bt Paikon
CUACA murung pada pagi itu seakan mengerti kewalangan yang telah mengundang dua orang teman. Rinai hujan sejak semalam masih belum reda. Bersama kedinginan yang diselimuti kabus, aku cuba memujuk sang teman. Kak Jah masih membungkam . Rajuknya jelas terpamer di wajah dan tidak mampu diselindung. Aku masih kekal dengan emosi biasa. Kelibat rakan selawatan langsung tidak kelihatan. Manakah perginya Rahim? Manakah perginya Halim? Manakah perginya Sarimah? Dan manakah perginya Hamzah? Pergi tanpa khabar dan tanpa pesan. Mereka tidak begitu sebelum ini. Dua hari sudah kembara bahasa kami lalui, ke mana-mana kami tetap telusuri bersama. Walau hujan sepanjang hari, walau rinai tiada henti, walau letih berseminar menggugat sesekali, teman-teman tetap seiya sekata. Kulihat Kak Jah masih mendongkol. Kucuba memanggilnya. Langsung tidak dihiraukannya panggilanku. Pujukanku juga tidak lut dibungkus belati amarahnya.
”Sampai hati mereka tinggalkan kita,” Kak Jah bersuara setelah sekian lama membisu. Nada suaranya penuh kekesalan. Seperti kekesalan seorang sahabat akibat dikhianati sahabatnya.
”Kita bangun lambat kak, patutlah kena tinggal. Malam tadi lena betul kita.” Aku cuba memberikan alasan yang munasabah. Kulihat Kak Jah mencebik bibir. Wajahnya sarat dengan kekecewaan.
”Kak Jah tengok ni, enam panggilan tidak berjawab. Bermakna kita tak sedar, kita tidur mati, kak, ” jelasku untuk menyakinkannya agar tidak terus dibalun rasa kesal. Malam tadi, kami menyaksikan persembahan teater ”Lungun”, arahan Hassan Hj. Saprin, tokoh teater negeri Sabah. Persembahan teater ini merupakan satu daripada pengisian program dalam Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustakan Cawangan Sabah. Paduan tenaga Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Rumpun Seni Budaya Tawau (RUSTA), serta Lembaga Kebudayaan Sabah, teater ini mengetengahkan pelakon-pelakon hebat yang mantap. Teater yang dipersembahkan untuk santapan pencinta-pencinta bahasa dan budaya ini mengisahkan seorang anak bangsawan, suku kaum Tidung bernama Bagung. Dia telah dilahirkan dengan dua pasang mata. Ibunya meninggal dunia ketika beliau dilahirkan. Sejak itu, dia dianggap sial dan diramalkan akan menjadi seorang penjahat dan zalim. Hal ini telah menyebabkan para pembesar mendesak ayahnya untuk membunuh Bagung. Namun, kasih sayang seorang ayah terhadap anak melebihi segalanya. Ayah Bagung telah menyembunyikannya di dalam hutan. Bagung telah dijaga oleh seorang tua, diajarnya ilmu kepahlawanan dan cara hidup rimba yang ganas. Apabila dewasa, Bagung kembali kepada kaumnya untuk menggantikan ayahnya yang telah pergi. Dia memerintah dengan penuh kezaliman. Telah menjadi hukum rimba, yang kuat akan berkuasa, yang berkuasa akan bermaharajalela. Akhirnya, rakyat yang diketuai oleh Andang, adik kepada Bagung yang berlainan ibu telah mendapat akal dengan memerangkap Bagung ke dalam sebuah Lungun, iaitu keranda. Namun, Bagung mempunyai kelebihan ilmu batin dan kepahlawanan yang luar biasa. Kendatipun, penentangan itu berjaya akhirnya. Begitulah serba sedikit sinopsis cerita teater Lungun sempena Malam Semarak Kebudayaan 2. Ternyata, aku cukup teruja dengan mutu persembahan dan barisan pelakonnya yang cukup mantap.
Kutatap skrin telefon tanganku. Bilangan panggilan tidak berjawab kukira melebihi sepuluh kali, belum lagi sistem mesej ringkas yang terpapar. Sesekali kutekan butang memanggil, namun belum juga berjawab. Aku membayangkan, mereka tentunya leka malarik mutiara di Pasar Jamilah, atau Pasar Gaya, atau Pasar Filipina. Tentunya, membalas kecundang semalam, kerana hanya satu jam berkesempatan melarik. Satu jam merupakan tempoh masa yang begitu singkat untuk aku mengamati kesemua aneka bentuk mutiara yang cukup memukau pandangan .Wanita ingin selalu dipandang cantik, ingin selalu muda, bergaya dan kelihatan anggun. Apatah lagi pabila usia menjengah 40-an, penampilan diri perlulah dijaga sentiasa agar kelihatan kekal muda.
“ Bukan takut tua, tetapi ingin mengurangkan citra ketuaan sahaja,” begitulah pandangan yang pernah disuarakan oleh Kak Jah yang sering berkecindan dan mengusik rasa. Sajak-sajaknya kerap meluahkan kebimbangan dijemput usia. Gandingan dan paduan kata-kata metaforanya mengentalkan karya-karyanya. Pernah suatu ketika aku mencungkil dalam ilmu kepengarangannya.
“ Kak Jah, apa petua Kak Jah ya? Tiap-tiap kali Zu baca sajak Kak Jah, macam ada aura tersendiri, “ luahanku ikhlas.
“Senang saja Zu, banyakkan guna unsur metafora dalam sajak, misalnya kalau Zu nak menggambarkan orang yang kecewa, gunakan.......gunakan apa ya?” Kak Jah cuba mencari frasa yang tepat sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
”Aha..... perca! Gunakan perca sebagai unsur konkrit. Perca biasanya dikoyak-koyak, dibuang tidak digunakan, dan digunakan apabila perlu. Begitulah dengan orang yang sedang mengalami kekecewaan, biasanya sebab rasa dirinya tidak dihargai atau putus asa kerana hajat tak tercapai. Perkataan kekecewaan itu pula abstrak sifatnya. Kalau digandingkan dengan perca, jadilah unsur bahasa ‘Perca Kekecewaan’, “ jelas Kak Jah begitu panjang lebar.
“ Contoh lain seperti , gunung azam, jaring harapan dan ombak keresahan. Betul tak?” Aku cuba menguji telaga metaforaku yang kuajarkan setiap hari kepada pelajar-pelajarku dalam Komsas.
“Ya…power gitu!” Kak Jah persis memberikan peneguhan kepada anak didiknya.
Aku melihat jam di tangan. Sudah setengah jam berlalu. Aku dan Kak Jah masih menunggu di foyer. Mataku ligat memerhati kalau-kalau ternampak Hamzah, Halim, Sarimah, dan Rahim. Kulihat Kak Jah masih belum dapat mengendurkan urat-urat rajuknya. Aku sudah masak dengan perangai Kak Jah. Rajuknya sekejap cuma. Pulang nanti rakan kembara bahasa, pasti rajuknya hilang, terukirlah nanti senyuman manisnya yang menampakkan lesung pipit mahal. Dalam pada itu, aku terbayang manik-manik mutiara yang tidak sempat kubelek semalam. Kesempatan yang cuma sekejap semalam kugunakan untuk membuat tinjauan dahulu kerana Kak Jah memberitahu aku ada tempat lain yang lebih menarik yang akan kami kunjungi. Satu daripadanya yang amat kuharap-harapkan menjadi sanggar persinggahan ialah Pasar Filipina atau dikenali juga dengan Pasar Kraftangan dan Pasar UNHCR, yang amat tersohor dalam kalangan pelancong tempatan dan pelancong asing. Nama Pasar UNHCR diguna pakai kerana pasar ini terletak di Bangunan UNHCR. Suatu ketika dahulu, bangunan ini dijadikan penempatan sementara untuk pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah sewaktu berlakunya perang di selatan Filpina pada tahun 70-an. Pada awal kewujudannya, kebanyakan produk yang dijual di pasar ini ialah hasil kraftangan daripada Negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, tetapi dari semasa ke semasa kraftangan tempatan dan beberapa dari negara lain telah mula dijual di situ.
Ketika di Pasar Jamilah semalam, sempat juga aku mengorek rahsia tulen palsu mutiara-mutiara di sini. Menurut tuan punya Toko Jamilah, mahal atau murahnya mutiara ditentukan oleh lima perkara. Pertama, dari segi ukurannya. Semakin besar ukurannya, semakin mahallah mutiara itu. Biasanya, ukuran diameter mutiara 7 mililiter. Kedua ialah bundar atau tidaknya mutiara. Bentuk air mata yang agak bundar lebih mahal harganya. Ketiga, dari segi daya pantulan terhadap objek atau cahaya juga harus diambil kira. Selain itu, permukaannya juga perlu diteliti, jangan sampai cacat kerana akan menurunkan kualiti mutiara. Yang kelima, dari segi warna. Warna pink banyak disukai orang Amerika dan Eropah, manakala warna krim dan perak disukai oleh orang Timur Tengah. Warna emas pula menjadi pilihan orang Amerika Latin.
”Orang Asia suka warna apa pula?” sengaja aku bertanya demikian kerana penjual itu tidak menyatakan pilihan warna orang Asia.
“Dapatkah aku ke sana lagi? Detik hatiku. Terimbau pesanan rakan-rakan di semenanjung.
“Zu, nak ke Sabah jangan lupa belikan akak mutiara tau!” pesan Kak Linda.
“Yelah… Zu, akak pun nak jugak ek. Oleh-oleh dari Sabah. Jangan hampakan tau!.“ celah Kak Misnah.
Zu, belilah banyak-banyak. Rugi tau dah ke sana tak borong,“ sampuk Kak Idah dengan suaranya yang lunak lembut. Kak Idah memang lembut dan sopan orangnya. Mendengar sahaja suaranya, bisa melerai segala keresahan dan tekanan kerja. Aku lebih mudah melontarkan kemelut rasaku kepadanya berbanding dengan kakak-kakak Ketua Bidang yang lain.
”Kat sini mahal. Ratusan harganya. Dah Zu ada peluang ke sana, belilah banyak-banyak. Jual kat sini nanti,” Kak Gayah memberikan pandangannya selaku seorang peniaga sambilan di pinggir kerjaya gurunya.
”Tengoklah nanti, kalau ada rezeki, Insya-Allah tak kan Zu hampakan. Adalah tu oleh-oleh dari sana.” Aku cuba memberikan keyakinan. Keyakinan yang tiada kepastian. Nah, benar kini kalau dugaanku tidak meleset. Walaupun sudah dua hari aku di bumi bawah bayu ini, kerja-kerja melarik mutiara masih belum sempat aku lakukan. Aku kian dihimpit kebimbangan.
”Sempatkah aku membelikan oleh-oleh mutiara buat rakan-rakan di semenanjung tu?” aku bermonolog sendiri.
Mengenangkan harapan rakan-rakan berpesan pelbagai mutiara, menjadikan aku kian diburu resah. Kalau diteliti jadual program, memang padat amat. Bermula jam 8.00 pagi, kemudian rehat setengah jam, tamat jam 4.30, sudah membolot separuh masa siang kami.
”Kalau cuaca elok, alhamdulilah, tetapi kalau sebaliknya, habislah aku,” desus hatiku.
Memang sejak hari pertama aku melangkahkan kaki di bumi bayu ini cuaca agak murung seakan mengerti demam yang cuba kulawan. Rasa bisa di tubuhku belum kebah lagi, lebih-lebih lagi dalam suasana dingin pendingin hawa di bilik seminar bangunan Pusat Pentadbiran Alamesra yang baru siap dibina. Semalam, berpindah kami para peserta seminar ke Dewan Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Sabah. Aku masih diperangkap kedinginan yang serupa. Mukus dari hidung tidak henti-henti mengalir , hingga terpaksa aku berbekalkan tisu sepanjang seminar berlangsung.
Hujan yang turun sepanjang hari membasahi bumi di bawah bayu ini dan kian galak turunnya. Entah bila hentinya akan mengundang. Apa yang merisaukanku ialah tentang mutiara itu. Pesanan-pesanan penuh harap masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Lebih-lebih lagi , inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi di bawah bayu ini. Bagi Kak Jah, kecundangan semalam tidak memberi kesan lantaran saban tahun dia berpeluang ke sini. Aku berdoa semoga Allah memberikan aku ruang untuk melunasi kemahuan kawan-kawan di semenanjung.
”Hah, dah bangun!” pertanyaan itu memancung lamunanku. Aku menoleh ke belakang. Rahim, Hamzah, Halim dan Sarimah muncul dari arah yang sama. Di tangan masing-masing menjinjing beg plastik hitam. Walaupun hitam legap warnanya, namun aku seperti melihat kilauan mutiara di dalamnya.
”Oh....terperanjat saya.” Aku mengurut dada lega.
”Kenapa tinggalkan kami? Tengok tu, Kak Jah dah merajuk,” jelasku sambil memuncungkan bibir ke arah wanita pertengahan 40-an itu. Kak Jah tidak menyedari kehadiran mereka. Dia leka menatap skrin telefon tangannya, mungkin membaca pesanan yang kerap bertubi-tubi datangnya. ”Panggilan pulau, dari semenanjunglah agaknya itu”, kolam hatiku berdetik.
”Engkau tidur mati ke Zu? Banyak kali aku ’call’ tak angkat-angkat pun,“ usik Halim.
”Yalah.... aku tidur lena sangat, sedar-sedar dah pukul 5.45 pagi, hampir tewas Subuh,” jelasku. Mengikut jam di sini, waktu syuruk berakhir pada pukul 6.00 pagi, berbeza di semenanjung, waktu Subuh berakhir 6.50 pagi.
”Hei, melampau betullah kau semua. Sampai hati tinggalkan aku dengan Zu. Zu ni, dahlah baru pertama kali datang sini. Kau tak kesian dia betul lah, lagi tadi dia menyebut-nyebut pasal mutiara,” Kak Jah mula memperkenalkan salam gurauannya apabila menyedari kehadiran mereka.
Aku senyum sahaja melihat kerenah Kak Jah. Dia memang cukup hebat. Aku kagum akan ketulusan hatinya. Kendatipun, sedari tadi dia membawa rajuk hati, tetapi rajuknya segera dilempar jauh seakan-akan tiada apa-apa terjadi. ”Aku pulak jadi bahan lampiasnya” bisik hatiku geli hati.
”Isshhh...banyaknya beli. Habislah Pasar Gaya,” usik Kak Jah
”Kesian Zu kempunan. Aha.... bila lagi nak ajak Zu cari mutiara? ”, tambah Kak Jah.
Aku lagi jadi bahan usikannya. Yang kutahu, Kak Jah sudah mengira-ngira dari dalam pesawat lagi berapa pasang, berapa set, berapa bentuk mutiara yang ingin dibelinya buat oleh-oleh orang semenanjung. Aku dimaklumkan bahawa Pasar Gaya hanya menerima kunjungan pembeli dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari. Oleh sebab itulah aku dan Kak Jah terpaksa ditinggalkan kerana mereka mahu mengejar masa. Tambahan pula, pukul 10.00 pagi kami diarahkan bertolak ke tempat seminar. Aku dan Kak Jah harus menerima alasan itu kerana memang salah aku dan Kak Jah bangun lewat hari itu.
”Marilah, kita dah lambat ni, naik bas DBP aja. Tunggu van lambat. Tayar pancit semalam belum dibaiki,” Halim cuba mengalihkan tajuk.
Kami masuk ke perut bas dua tingkat itu menunju ke destinasi selalunya. Kali ini, seminar diadakan di Dewan Bayu, DBP. Bas meluncur laju meninggalkan Hotel Courtyard, sanggar persinggahan kami sejak hari pertama. Aku masih resah mengenangkan mutiara dan pesanan rakan-rakan. Namun, tidak kutunjukkan keresahan itu. Aku sekadar pengikut setia kembara ini. Itupun kak Jah yang mengundangku ke sini. Dialah yang memperkenalkan aku ke dunia pengkaryaan. Sejak perkenalanku dengannya, minatku terhadap penulisan puisi semakin menebal. Aku kini berjinak-jinak dalam bidang ini walau kusedari usia awal 40-an telah menjengah. Seperti Rasululullah S.A.W menerima wahyu tika usianya 40 tahun, begitulh persisnya aku. Kekadang geli rasa hatiku memikirkan minat yang datang tetiba di tengah keligatanku membesarkan enam orang anak-anak yang masih kecil dan perlukan perhatian. Dulu, sewaktu zaman remaja, karya-karya picisanku kumal kubiarkan begitu sahaja, sekadar meluah rasa dan mengungkap kata-kata indah mengurai dukalara hidup. Jika adapun karyaku yang tersiar, hanyalah di majalah-majalah tabloid yang tidak perdana, menang sesekali tempat ketiga, atau sekadar sagu hati di peringkat daerah dan negeri anjuran Yayasan Warisan Johor .Aku sering menjadikan hambatan masa sebagai alasan untuk tidak menulis. Sehinggalah aku akhirnya dipertemukan dengan Kak Jah, menjadi ahli Persatuan Penulis Johor, berkecimpung perlahan-lahan dalam penulisan sajak. Ah....aku malu untuk minta lebih dari itu. Minta atau merayu ke Pasar Gaya lagi, atau ke Pasar Pilipina lagi untuk melarik mutiara idaman hati, akan kujauhkan. Aku tidak mahu seperti pepatah diberi betis, nak paha. Bagiku, aku cukup berterima kasih kepada mereka kerana mengajakku ke tanah bayu ini dan merencanakan nostalgia penting untukku lantaran inilah kali pertama aku menaiki kapal terbang. Aku akan mengikut sahaja ke mana mereka akan membawaku, ke Kudat, Ke jambatan Tamparuli, ke Gerai Sayap Manok, ke Borneo One. Kuturuti sahaja.
” Nama saya Julia, dari Sandakan!” Julia memperkenalkan dirinya dengan loghat Sabahannya.
”Saya Zubaidah dari Johor.” Kami berjabat tangan mesra.
”Selamat datang ke Sabah. Jauh datang bah,”
”Ya, terima kasih. Selamat berkenalan bah,” aku cuba meniru loghatnya.
Tiba-tiba aku teringat sesi perkenalanku dengan cikgu muda dari Sandakan, ketika aku melihat poster besar terpampang wajah wanita mirip Julia, kenalanku yang baru. Juga peserta Seminar Persuratan dan Kebudayaan kebangsaan.
”Eh, Julia, cantik tak gelang ni?” Aku menunjukkan gelang mutiara corn kepadanya.
”Ni, rantai ni, cantiknya, berkilau.” Terkesima aku menatap bentuk sapphire batu itu. Aku cuba mengenakan rantai merah jambu itu ke leherku.
”Eh, murah la harganya,Di semenanjung tak dapat harga macam ni.“
”Kak Zu kalau pandai tawar lagi dapat murah,” jelas Julia.
”Ye....!“
Akhirnya aku pulang dengan beg plastik penuh kubimbit di tangan. Semuanya mutiara, berkilau, bersinar. Rantai, loket, subang, gelang, kerongsang, brooch, semuanya kuborong .Pendek kata segala bentuk mutiara terkini habis kularik ditemani Julia, kenalan baruku. Alhamdulilah.... syukur aku diketemukan dengan Julia. Jika tidak, pasti hampa dan deritanya rakan-rakan di semenanjung, menanti oleh-oleh yang cuma halusinasi. Tetapi.... aku hairan, di mana Kak Jah, di mana Halim, di mana Hamdan, Rahim dan Sarimah.
“Zu, kau ni, sempat tidur, bangun dah sampai la,” aku terasa bahuku digoncang. Berpinar-pinar mataku melihat sekeliling yang berkabus. Wajah Julia tidak kelihatan. Aduh..... mimpi rupanya aku. Aku tersenyum sendiri. Tiga puluh minit perjalanan berlalu ke Dewan Seminar, sempat juga aku bermimpi melarik mutiara. Bagaimana aku boleh berkhayal sebegitu rupa, kelakarnya aku. Kebimbanganku sehingga terheret ke dalam mimpi.
Seminar sehari itu kelewati jua dengan pelbagai rasa. Banyak sungguh khazanah dunia penulisan dapat kuselongkar selain menggilap kembali minat berkarya yang telah kusam. Aku sempat merakam pengalaman paling berharga lantaran dapat bertemu,berdialog, dan berbual bicara dengan tokoh-tokoh Sasterawan Negara seperti Pak Samad Said, Lim Swee Tin, dan Arenawati. Dialog Persuratan Penulis Sabah-Johor juga berjalan dengan lancar. Pelancaran Antologi Puisi Bahtera Ke Selatan yang memuatkan puisi-puisi penulis Johor dan Sabah semakin menguatkan semangatku untuk berkarya. Walau tidak sehebat rakan-rakanku yang telah menghasilkan banyak antologi puisi dan cerpen, aku berazam akan menulis dan terus menulis. Menyelak helaian demi helaian antologi tersebut, tertera nama dan nukilan rasa rakan-rakan kembara bahasa. Namaku pasti akan tertera juga nanti. Itulah azamku.
Walaupun aku begitu seronok mengikuti tentatif seminar yang dijadualkan, yang cukup baik dan yang cukup cerlang, namun mutiara tetap jadi dambaan.
”Malam ni kita free. Nak tak saya bawa awak ke Pasar Gaya?” tanya Rahim cuba memancing keinginanku. Tawaran itu benar-benar seperti bulan jatuh ke riba.
“Boleh” jawabku pantas sebelum Kak Jah teruja mengusik.
“Amboi, Zu je. Saya tak boleh ikut?” Kak Jah mencelah.
“Sama-samalah pergi, ” balas Rahim.
Aku tahu Rahim mahu memancing hati Kak Jah yang rajuk. Walaupun Kak Jah tidak menunjukkan rajuknya, tetapi lelaki awal 50-an itu cukup faham dengan Kak Jah. Di mata firasatku, mereka sahabat sehati sejiwa dalam dunia penulisan puisi. Mereka seperti irama dan lagu. Tidak keterlaluan jika aku katakan, di situ ada Rahim, di situ ada Khatijah. Mereka sering mengagendakan program-program sastera bersama-sama. Di bawah lembayung PPJ, juga selaku AJK tertinggi Persatuan Penulis Johor, gandingan mereka berdua memang cukup mantap dan hebat tika mengendalikan majlis-majlis sastera.
Syahdan, melarik mutiaralah malam bermakna itu. Aku, Kak Jah dan Rahim membelah malam ke bandar Kota Kinabalu, bersandar ceria di tempat duduk belakang Toyota Vios kepunyaan Muhtar, anak jati Terengganu, sahabat lama Rahim yang sudah 7 tahun menetap di sini. Sementara rakan-rakan
kembara bahasa yang lain enak dibuai mimpi indah.
Demamku beransur reda. Langkahku orak laju mengejar Kak Jah yang sekejap hilang, sekejap ada. Baru hendak kutawar-menawar, Kak Jah sudah meninggalkanku keseorangan. Lampu neon yang tergantung di setiap gerai mutiara semakin merangsang objek itu untuk terus berkilau. Aku sempat merakamkan kesesakan malam di pasar itu. Berpayung-payung gerai berderetan menjual aneka kraftangan, diceriakan dengan teriakan dan layanan para penjual yang ingin melariskan jualan. Para pengunjung seperti tidak menghiraukan malam lantaran leka melayani kehendak hati. Mereka begitu asyik dan sanggup bersesak-sesak. Pendek kata, beraneka jenis kraftangan dijual di situ. Antaranya, rantai kunci, T-shirt, ukiran kayu, sarung batik, tikar rotan dan ukiran khat.
Yang menariknya, sepanjang lorong adalah gerai-gerai mutiara. Memang benarlah kata orang, Sabah ialah Syurga Mutiara. Beraneka corak, bentuk, dan warna dapat kulihat dengan mata wanitaku. Merah jambu, putih, hitam keungguan adalah warna yang jarang diperoleh. Aku belajar mengenali bentuk-bentuk mutiara. Ada yang dikenali sebagai ”tiger eye”, ”cat eye”, dan ”clay beads”. Nama-nama gelang seperti mutiara corn dicampur kristal swarovski, mutiara potato dan mutiara stone sempat juga aku kenali melalui jurujual yang tidak putus asa memujukku. Kebanyakan mutiara itu diperoleh dari utara Pulau Borneo, Sabah.
Rahim dan Muhtar setia menunggu kami sambil mengisi malam dengan warita masing-masing, sekadar bertukar-tukar pandangan dan pengalaman meniti kerjaya guru. Hatiku berbunga girang. Lebih murah lagi aku dapat menawan harga mutiara malam itu. Aku tidak peduli sama ada mutiara itu asli, mutiara Filipina atau mutiara laut dalam, atau mutiara laut masin. Yang penting ialah kegembiraan rakan-rakan di semenanjung yang membunga harapan. Sesekali dapat kubayangkan alangkah gembiranya Kak Lin, kak Mis, Kak Idah dan Kak Gayah menerima oleh-oleh daripadaku nanti. Tepat jam 11.00 malam, kerja-kerja melarik pun selesai. Gambaran yang kubayangkan dalam mimpi di dalam bas benar-benar terjadi. Aku membimbit dan menjinjing plastik-plastik penuh mutiara, begitulah realitinya. Aku tersenyum penuh makna. Sempat juga Kak Jah menjeling usik ke arahku. Aku membalas jelingannya dengan bisikan terima kasih.
”Kau memang hebat Kak Jah,” hatiku berdetik.
Kepenatan melarik hilang apabila kami mengunjungi, gerai Sayap Manok. Di sini, kepak ayam dipanggil sayap manok. Selain sayap manok, aku juga menikmati nasi ayam penyek. Kusangka nasi ayam di sini macam nasi ayam di semenanjung, rupa-rupayna jauh panggang dari api. Cuma nasi putih yang dipenyek, kemudian ditemani seketul ayam goreng bermadu dan sepinggan sudu sambal belacan. Namun, aku seronok menikamti hidangan itu, suatu pengalaman baru yang tidak kuraih di negeriku . Walaupun tidak selazat masakan di semenanjung, tetapi palitan budayanya menyentuh kolam hatiku. Selain masakannya, mutiaranya, seni krafnya juga menambat hati.
”Zu, zip kau koyak tu, nanti terkeluar isinya. Jangan mutiara kau keluar sama, sudahlah“
”Yalah Kak Jah. Macam mana boleh koyak ni, baru beli, baru pakai dua kali,” rungutku.
”Kat mana kau beli?” tanya Kak Jah.
”Tanjung Balai,” jawabku ringkas.
”Oh.....kau beli di sana ye. Kak Jah ingat, masa tu Kak Jah aja yang beli.
”Kebetulan nak guna,Kak Jah. Polo lagi. Hai, nampaknya ini Polo tipu la....” rungutku sambil cuba membetul-betulkan jalinan jahitannya yang terlerai.
“Dahlah.....cepat siap. Kita ketinggalan ni. Nanti kena tinggal lagi..heheh....” Kak Jah cuba berseloroh.
Aku memasukkan helaian pakaian yang terakhir dalam bagasiku. Kemas-kemas kususun agar dapat memuatkan baju-baju dan mutiaraku.Beg plastik hitam yang mengandung pelbagai jenis mutiara kuselitkan di bawah tindinan pakaian yang telah kukemas rapi. Banyak macam manapun, mutiara yang kubeli, masih ada ruang kosong untuk menambah belian lagi. Aku sekadar mengusik hati sendiri.
Kapal terbang yang kami naiki akan berlepas setengah jam lagi. Di ruang menunggu, kelihatan berpusu-pusu manusia pelbagai gaya, peringkat usia dan warna kulit menyorong bagasi masing-masing ke kaunter. Suasana agak sesak ketika itu, maklumlah cuti persekolahan baru bermula. Jadi, banyaklah destinasi ingin dituju. Seisi keluarga mampu dibawa terbang bersama-sama dengan Air Asia sesuai dengan slogannya ”Everyone Can Fly”. Hari ini, menaiki kapal terbang macam menaiki bas tetapi hanya dengan Air Asia lantaran kesederhanaan tambangnya yang mampu dinikmati oleh semua peringkat.
Wanita lengkap berpakaian seragam Imigresen menjalankan tugas dengan tekun dan penuh dedikasi. Satu demi satu bagasi bergerak masuk ke mesin pengimbas, perlahan-lahan mengikut laluannya, muncul kembali di tabir hadapan selepas menelusuri lorong gelap itu. Pemilik bagasi setia menanti di tempat menunggu. Tiba di kaunter berlepas, seorang pegawai Imigresen yang bertugas mengarahkan kami mendepangkan tangan untuk membuat pemeriksaan penumpang.
Penerbangan balik ke semenanjung dirasakan begitu cepat. Wajah-wajah ceria mengharap berbaris di pagar mataku. Alhamdulilah, kami selamat mendarat tepat jam 12.00 tengah hari. Ketidaksabaran merajai ruang. Wajah-wajah insan disayangi yang empat hari kutinggalkan semakin jelas di mata. Wajah Kak Lin, Kak Mis, Kak Idah dan Kak Gayah juga silih berganti berbalas senyuman. Senyuman penuh bererti terukir di bibir. Manik-manik mutiara air masin, mutiara air dalam, air mata dan sebagainya muncul sama. Tiba di kaunter bagasi, kami menunggu penuh sabar bagasi kami yang memuatkan oleh-oleh berharga.
”Alamak, bagasi terkuak zip la Kak Jah,” terlontar kata-kata itu apabila aku melihat jalinan benang pada zip bagasiku terurai. Debaran kian kencang. Apakah nasib mutiara dambaanku? Masihkah ia di situ? Aku seakan ingin menjangkau terus menyambar bagasi walaupun masih jauh.Kusabarkan hati, menatap penuh harapan pada bagasi yang kukira sungguh bererti.
”Aduh, Kak Jah, plastik hitam mutiara tak ada!. Tercicirkah?”
”La...iya ke Zu, kau yang betul. Jangan gurau!,”
”Betul... tengoklah ni”
”Eh, mana ya? Masa kemas-kemas tadi, Kak Jah dah ingatkan kau kan! Alamak celopar mulut Kak Jah. Betul-betul tercicir.”
Aku hampir terjelepok. Ingin menangis pun ada. Wajah-wajah penuh mengharap terpampang di mataku .Empangan air mata kutahan agar tidak pecah. Puas Rahim, Halim, Hamdan, Sarimah cuba mencari beg plastik itu di mana-mana, bertanya petugas di kaunter pun sudah. Tetapi, hujan rezeki tidak menyebelahiku. Aku terpaksa pasrah atas dugaan yang menimpa. Sejurus aku teringat hambatan-hambatan yang kuharungi untuk mengumpulkan mutiara-mutiara itu. Kini, mutiara itu kembali ke tempatnya setelah kukumpulkan untuk kubawa pulang. Mutiara itu enggan mengikut aku, mendandanku, waima rakan-rakan dan orang-orang yang kusayang. Kapan lagi aku akan ke mari, hatiku berbisik sayu. Dengan longlai, kulangkahkan kakiku jua. Kak Jah beriya-iya memujukku dengan menawarkan separuh mutiara kepunyaannya. Kak Jah memang insan budiman. Kak Jah memang pemurah.
”Tunggu dulu!” Aku terdengar suara memanggil seseorang. Aku menoleh ke belakang mencari-cari gerangan siapakah empunya suara itu. Seorang pegawai Imigresen muda menjinjjing sesuatu di tangannya. Dia kelihatan termengah-mengah seperti baru lepas dikejar anjing. Aku terhenti seketika. Harapanku kembali menyinar.
Salam,
ReplyDeleteZu, saya baru hari ini naik kerja. Sejak Sabtu hingga Selasa di KL.
Tentang cerpen ini saya sudah baca.Zulaiha boleh bercerita dengan baik. Pada akhir cerita ada semacam ketegangan yang menarik. Cuma unsur persoalan perlu ditimbulkan lebih awal, supaya cerita dapat bergerak dengan lancar. Walau bagaimanapun ini sebagai satu permulaan yang baik. Teruskan. Banyakan membaca cerpen-cerpen Nisah Haron dan Mawar Shafie.
Kak zu, saya seronok baca cerpen kak zu sehingga saya juga tidak sabar nak melarik mutiara di Pasar Filipina. Tahniah... dalam kesibukan sebagai pendidik di rumah dan di sekolah, kak zu masih ada ruang untuk berkarya. Teruskan menulis...kak zu dah ada seorang peminat di Benut.
ReplyDelete