Saturday, August 2, 2025

PERHIMPUNAN PENULIS SASTERA WANITA SE-NUSANTARA

Sabtu hingga Ahad, 1 hingga 2 Ogos 2025 berlangsungnya perhimpunan penulis wanita se-Nusantara di Hotel Noble Melaka yang penuh warna wacana tentang kepengarangan wanita dalam era baharu, dianjurkan oleh GAPENA, DBP dan JKKN Melaka.  Menghimpunkan para penulis wanita dari seluruh wilayah Nusantara meliputi lima negara; Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand. 


Sempat merakam kenangan bersama Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.


Thursday, March 21, 2024

PROGRAM IFTAR 1000 BULAN

 



21 MAC 2024- Majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim dan Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tenggara anjuran PPJ (Persatuan Penulis Johor).  PPJ turut menyampaikan infaq Ramadan kepada anak-anak titipan Allah SWT. Semoga majlis diberkati-Nya. Deklamasi puisi Ramadan dan Palestin sempena Hari Puisi Sedunia 2024 pada 21 Mac.


Saturday, November 11, 2023

PANTUN PERPISAHAN


Memetik pedada di waktu pagi,

Tumbuhan tropika Asia Tenggara,

Kalau ada rezeki lagi,

Insya-Allah pasti berjumpa kita.


Berendam di Lata paras dada,

Bagai di kawah dalam tersurat,

Maaf diminta silap yang ada,

Moga ukhuwah terjalin erat.


Turun ke paya mencari belida,

Dapat sekati diberi Tuan,

Kirimkan saya nombormu dinda,

Usah nanti rindu-rinduan.


Reneknya lemuni di tepi titi,

Tumbuh berjajar teduhan kuang,

Pengalaman di sini amat bererti,

Tunjuk ajar kubawa berjuang.

JEJAK MONPUS

Soalan KBAT berdasarkan teks novel Jejak Monpus.


Berdasarkan novel Jejak Monpus, karya Zulaiha Paikon, huraikan peristiwa menarik dalam novel. [6 markah]

Jawapan;

Novel yang saya kaji di tingkatan 2 ialah Jejak Monpus, karya Zulaiha Paikon.

Terdapat peristiwa menarik dalam novel ini. Pertama, peristiwa Zahar dan Malcon ke Pulau Pisang untuk mencari spesies ulat bulu baharu untuk diklonkan dengan ulat bulu Pus Pus yang kian lemah. Peristiwa ini menarik kerana memperlihatkan semangat kesungguhan dan ikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang melanda. 

Seterusnya, peristiwa Zahar  berjaya mencipta formula yang bernama MONPUS untuk menghapuskan ulat bulu yang menyerang Kampung Maju Jaya. Peristiwa ini menarik kerana memaparkan kebijaksanaan mencipta inovasi demi kebaikan dan kesejahteraan manusia. 



PANTUN KEMBARA

PANTUN REKREASI


Patah sayap burung kenari,

Mematuk sekoi tembolok berisi,

Pagi-pagi bersiap sendiri,

Ke Takah Pekoi itulah destinasi.


Sahabat berlima membawa timba,

Mencari serama hutan diredah,

Khabarnya indah bersih rimba,

Seisi keluarga kita riadah.


Burung terbebar di alam semesta,

Indah buana tiada sangsi,

Memang khabar seindah kata,

Nikmati suasana destinasi rekreasi.


Terkebil-kebil melihat kera,

Putik pelam dimakan juga,

Berkhemah sambil nikmati flora,

Lestari alam khazanah terjaga.



Friday, June 26, 2020

SELOKA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN NORMA BAHARU

Masuk pintu pagar suram suasana,
Kelihatan putih-putih kaburi mata,
Berkujur tubuh terbaring lena,
Penjarakan satu meter akur dijaga.

Datang dekat ada yang tergolek,
Rupa-rupanya murid lena diulik,
Seram pun ada rasa nak balik,
Digagahi jua tak berpatah balik.

Terpisat-pisat murid didekati,
Kenapa datang awal dikenal pasti,
Katanya van lalu tak nak berhenti,
Enjin dah hidup tak nak mati.

Aduh rupanya Cikgu Tumpi,
Risau amat sampai bermimpi,
Terus bangun tak bertapi,
Sampai sekolah sunyi sepi.

Ada murid yang dah tiba,
Jalan perlahan teraba-raba,
Pelitup muka menutup mata,
Pengimbas suhu dah tiga dicuba.

Tak boleh diimbas bacaan suhu,
Murid disuruh sanitasi dahulu,
Takut bergejala kena tunggu,
Memang kena ada rasa ragu-ragu.

Itulah budaya norma baharu,
Baik kenalan lama atau kenalan baru,
Status kesihatannya sentiasa diragu,
Kalau macam sombong usah haru.

Cikgu- cikgu ramai dah datang,
Ke mesin pengetik beratur memanjang,
Ada yang lalu arah menentang,
Masa simulasi dia tak datang.

Cikgu pengawas blok siap siaga,
Bimbang murid bertembung laga,
Takut jarak sosial tidak dijaga,
Bukan murid sahaja, cikgu juga.

Ikut arah laluan masuk ke kelas,
Pergerakan pun sangat pantas,
Cikgu bertugas tiada culas,
Esopi dibaca lantang satu kelas.

Pengajaran semuka sudah bermula,
Cikgu tak sabar nak bertanya,
Mengapa dalam talian asyik tak ada,
Murid cemas nak jawab apa.

Cikgu Tumpi baik hati,
Malas nak tanya soalan begini,
Yang penting murid disantuni,
Kelak bersemangat belajar nanti.

Anggerik Desa
25 Jun 2020

Wednesday, June 10, 2020

SELOKA MAK PULASAN NAK MULA SEKOLAH

Esok sekolah dah bermula
Mak Pulasan mengoceh sahaja
kasut sekolah hilang ke mana
sebelah dilarikan kera
raih beg sekolah di rak
terdengar bunyi katak
keluar bilik macam sarung nangka
baju sekolah tak kena gaya
buku nota jumpa tiada
dek latihan dalam talian
langkah berjimat pelitup muka
perca kain batik jadi mangsa
gembiranya anak Mak Pulasan
esok jumpa Cikgu Bunga!

anggerik desa
11 Jun 2020
6.00 pagi